Monday, 4 April 2011

Klip Video Seks Anwar: Kecamukan Persepsi


Datin Seri Wan Azizah dalam sidang medianya pagi tadi menafikan Anwar terlibat


Semalam kita dikejutkan lagi dengan pendedahan terbaru seks kilp Ketua Pembangkang, DSAI dengan seorang wanita di YouTube. Rakaman seminit setengah itu sudah mencukupi untuk kita melihat secara kasar bagaimanakah bentuk dan corak klip video tersebut dan siapakah gerangan watak-watak utama di dalam klip tersebut. Yang secara jelasnya dapat disimpulkan tiga orang yang terlibat Lelaki A (Dato’ Eskay), Lelaki B (DSAI atau seseorang yang menyerupai DSAI) dan Perempuan A (Wanita yang berbangsa asing). Setelah berlakunya pendedahan ini, terdapatlah pelbagai reaksi dan respons yang diberikan oleh sahabat-sahabat saya di dalam FB dan medium yang lain.
Tertarik untuk berkongsi pendapat kekanda Dr. Ashraf Wajdi yang beliau mengharapkan rakan-rakan tidak ghairah berkongsi video seks tersebut demi menjaga aib dan maruah orang lain dan mengharapkan pihak berkuasa menyiasat dan menentukan apakah bentuk tindakan yang bersesuaian bagi menangani isu tersebut. Saya juga tidak berniat di dalam blog ini untuk berkongsi, memanjangkan lagi perkara ini untuk tatapan umum kerana beranggapan perkara ini amatlah memalukan, tidak bermoral dan menjadi contoh yang tidak baik kepada generasi muda.
Namun, saya terpanggil untuk membuat analisa mengenai seks klip ini sebagai berkongsi apa yang saya rasa mengenai isu ini iaitu Teori Persepsi. Kita sedia maklum Persepsi merupakan suatu proses mengenali atau mengidentifikasi sesuatu perkara menggunakan pancaindera dan ianya teramat bergantung kepada pengalaman, pengamatan, proses berfikir dan menerima dan dipengaruhi oleh faktor yang berasal dari dalam diri inidividu tersebut. (Dreverdalam S, 2003). Menurut Mar’at (1981) pula mendefinisikan persepsi merupakan satu proses pengamatan secara terus menerus dan dipengaruhi informasi baru dari lingkungan persekelilingan. Apa yang ingin kita kaji daripada isu ini ialah apakah persepsi masyarakat. Adakah mereka mempercayai individu di dalam klip tersebut adalah DSAI atau adakah mereka tidak mempercayainya?
Minggu lepas berdasarkan survey yang telah dijalankan oleh Merdeka Centre, 39% daripada 504 menyalahkan BN dan UMNO terlibat di dalam konspirasi video ini. 38% tidak tahu menahu kewujudan video tersebut dan 18% percaya bahawa klip video itu tidak ada kena mengena dengan BN mahupun UMNO. Melihat kepada angka tersebut, kita dapat simpulkan yang lebih separuh mempunyai persepsi menyalahkan UMNO dan BN terlibat di dalam konspirasi ini.
Selanjutnya, survey dibuat bagi mengenalpasti adakah mereka mempercayai lelaki di dalam video tersebut adalah Anwar. 51% mempercayai lelaki itu bukan Anwar, 29% tidak pasti , 17% mempercayainya dan 3% sangat mempercayai. Antara survey lain yang dijalankan ialah adakah pendedahan video ini mempengaruhi keyakinan mereka terhadap Pakatan Rakyat, 48% menyatakan ia tidak sedikitpun menggugat keyakinan mereka terhadap PR manakala 41% menyatakan sebaliknya.
Berdasarkan pengamatan saya, bagi mereka yang menyokong Pakatan Rakyat sudah pasti mereka menidakkan kesahihan rakaman dan individu tersebut adalah DSAI. Tambahan lagi dengan sokongan yang diberikan oleh isterinya, Wan Azizah dan Nurul Izzah pada sidang media di Segambut sebentar tadi yang dengan jelas menyatakan bahawa lelaki di dalam video itu bukan Anwar menguatkan lagi keyakinan penyokong PR terhadap pimpinan mereka itu biarpun tersentak dan kaget dengan soalan-soalan yang diajukan wartawan mengenai jam Omega Anwar. Tambahan pula, klip video ini dibongkarkan oleh 3 individu yang dari segi latarbelakangnya amat diragukan dan penuh dengan kontroversi. Secara puratanya, mereka mempunyai persepsi bahawa isu video ini berkemungkinan konspirasi yang diada-adakan oleh pimpinan kerajaan BN dan UMNO. Mereka berpersepsi bahawa BN dan UMNO sudah ketandusan idea mencipta konspirasi dan kontroversi demi melemahkan PR. Waimma benar sekalipun, pada persepsi mereka Anwar tetap bukan orangnya (Melainkan Anwar mengaku perbuatannya itu). Waimma benar sekalipun ini tetap konspirasi BN. Namun persoalan yang timbul, sekiranya ini konspirasi. Konspirasi apa yang kita bicarakan? Konspirasi klip video itu menggunakan teknik CGI mahupun apa juga teknologi terkini yang menampakkan individu itu adalah Anwar? Konspirasi bahawa seseorang individu yang menyerupai Anwar diupah untuk melakonkan watak Anwar? Atau konspirasi Datuk Shazryl Eskay mendedahkan tembelang Anwar yang sebenarnya? Inilah persoalan konspirasi yang perlu dijawab dan jawapannya bergantung kepada persepsi masing-masing terhadap isu ini. Inilah yang dinamakan “WAR OF PERCEPTION” dan “WAR OF INFORMATION”. Sesiapa yang mampu menang di dalam dua peperangan ini, maka, merekalah yang bakal memenangi minda golongan pertengahan.
Dah takde kerja agaknya ahli parlimen kita. Layan bebenor menonton videonya...
Bagi mereka yang menyokong BN, sudah pasti mereka mudah mempercayai bahawa individu di dalam klip tersebut ialah Anwar. Mereka beranggapan kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang. Dalam erti kata lain, benda ni takkan terkeluar kalau Anwar tak buat. Ada juga yang berpendapat, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua, maknanya berani buat berani tanggung dan kebenaran pasti terserlah akhirnya. Ada juga yang berpendapat rakaman tersebut asli, tiada pelakon jemputan, tiada teknologi canggih, sama macam klip skandal seks pemimpin lain yang terdahulu dan beranggapan takda kerja BN nak buat benda-benda macam ni.
Yang menjadi mangsa adalah golongan pertengahan, anak-anak muda dan generasi baru yang terkeliru dan terus-menerus mencari kebenaran. Bagi anak muda, kami mulai menyedari hakikat bahawa kepimpinan Malaysia ini tidaklah sebaik mana. Di sebelah BN pun teruk, di sebelah PR pun sama. Hilang kepercayaan kepada kepimpinan. Sebagai pemimpin ingatlah akan tanggungjawab kepada yang dipimpin. Pemimpin yang ada sekarang ini bakal mencorakkan kepimpinan yang akan datang. Dan bagaimanakah bentuk kepimpinan yang kita mahukan terletak kepada cara kita mendidik generasi sekarang.
Sebagai rakyat Malaysia, kita bakal menganalisa berdasarkan maklumat dan pengamatan kita terhadap sesuatu isu. Klip video Anwar seminit setengah sudah terbit memberikan kita sedikit gambaran yang boleh digunakan dalam merencanakan persepsi kita terhadap isu ini. Namun, tidak dinafikan setiap daripada kita akan dipengaruhi oleh faktor partisan, informasi yang kita terima daripada berita dan pendapat ramai serta yang paling penting ialah pegangan dan kepercayaan (belief). Dalam hal ini, pendekatan yang terbaik sebagai anak muda, marilah kita mendiamkan diri melihat drama berita terkini di kaca TV, lakonan ibu bapa kita yang memegang kuasa hari ini. Jadikan sempadan dan tauladan agar tidak terulang kemudian hari.
Persepsi bakal menentukan segalanya. Persepsi membentuk corak pemikiran ummah. Persepsi bakal menentukan masa depan negara. Oleh itu, gesaan saya buat semua sahabat-sahabat di luar sana. Carilah persepsi yang benar dan berasas. Berdasarkan bukti, fakta dan kebenaran. Bukan berpandukan omongan dan lolongan. Ikhlaskan hati menerima hakikat. Jangan kita dipengaruhi emosi dan parti. Demi mencipta Malaysia yang lebih berkualiti.

No comments:

Post a Comment