Sunday, 21 August 2011

Mencari Al-Qadr...


Muqaddimah
Alhamdulillah... Syukur kepadaMu Ya Allah... Tuhan Yang Maha Mencipta, Yang Maha Melindungi, Yang Maha Adil dan Mengetahui... Daripada Mu lah kami datang, dan kepadaMu akan kami pulang...

Terima kasih Allah... Hari ini kami masih bernafas dengan penuh nikmat Iman dan Islam... Dengan penuh rasa tawadhu' dan rendah diri bahawa kami adalah tidak lebih daripada seorang hamba di sisiMu Ya Rabb...

Shukran Ya Allah, kerana telah memberikan kami peluang untuk melaksanakan tanggungjawab kehambaan kami berpuasa di bulan Ramadhan pada tahun ini...

Telah masuk 10 hari terakhir Ramadhan, hati aku menjadi semakin sayu, sedih dan pilu... Kerana tidak lama lagi Ramadhan akan berlalu... Belum cukup amalan yang aku lakukan... Belum puas ayat-ayat suci aku tatapkan... Belum melecet kakiku beribadah bertahajjud di malam hari kepada Mu Ya Allah... Tetapi Ramadhan tetapkan pergi... Hanya kemanisan Iman dan Amal yang bakal menjadi bekalan sehinggalah aku bertemu Ramadhan sekali lagi...

Mencari Al-Qadr... 
Lailatul Qadr... Semua dari kita sedia maklum bahawa Lailatul Qadr ini merupakan satu malam khusus, satu malam yang teramat istimewa yang terjadi di dalam bulan Ramadhan. Malam yang dinyatakan di dalam Kitabullah sebagai malam turunnya Al-Quran dan rahmatnya digandakan melebihi seribu bulan. Sepertimana yang termaktub di dalam Surah Al-Qadr.
Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".
Benarkah Malam Lailatul Qadr ini? 
Ada yang berpendapat bahawa malam Lailatul Qadr itu hanya berlaku sekali sahaja iaitu pada malam turunnya Al-Quran kepada baginda junjungan Rasulullah S.A.W dan tidak akan berulang kembali. Dalam erti kata lain, Lailatul Qadr tidak akan berulang lagi kerana malam itu khas pada malam turunnya Al-Quran kepada baginda Rasulullah S.A.W dan ianya bukan berlaku sekali setahun. Justeru, ada yang beranggapan bahawa penantian umat Islam mencari Lailatul Qadr adalah sia-sia dan merupakan satu amalan yang menyesatkan.

Namun, pendapat ini boleh disangkal berdasarkan hadith daripada Aisyah r.a., katanya: 
"Rasulullah s.a.w. itu beri'tikaf dalam sepuluh hari yang terakhir dari bulan Ramadhan dan beliau s.a.w. bersabda: "Carilah lailatul-qadri itu dalam sepuluh yang terakhir dari bulan Ramadhan." (Muttafaq 'alaih)
Hanya golongan-golongan anti Hadith sahaja yang akan menyatakan bahawa kepercayaan terhadap Lailatul Qadr ini adalah kepercayaan yang salah. Umat Islam seharusnya tidak terpesong akan hujahan tersebut dan sebaliknya kita harus yakin bahawa Lailatul Qadr itu wujud sebagai satu malam anugerah kurniaan Allah buat hamba-hambanya... Yakinilah akan kewujudan malam Lailatul Qadr ini...

Di dalam Hadith yang lain, Daripada Aisyah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: 
"Carilah lailatul-qadri itu dalam malam ganjil dari sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan"
Bilakah Al-Qadr?


Saat pasti berlangsungnya malam ini tidak diketahui namun menurut beberapa hadith, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan, tepatnya pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29. Malah ada sebahagian ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam 24 Ramadan. Walau bagaimanapun, antara hikmah malam ini dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir.

Ada juga hadith yang menyatakan bahawa Rasulullah bersabda kepada sahabat-sahabat baginda. Riwayat dari Ibnu Umar, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Carilah di sepuluh hari terakhir, jika tidak mampu maka janganlah sampai terluput tujuh hari yang selebihnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza. Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.


Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka’ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu’awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. 
“Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27.”

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.


Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.


Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.
Sementara terdapat ulama' yang berpendapat bahawa malam lailatul Qadr itu adalah di malam ketika Quran itu diturunkan iaitu pada malam Nuzul Al-Quran itu sendiri pada 17 Ramadhan.

Apakah pendapat Imam As-Syafie dan Al-Ghazali?
Mengikut pendapat Imam Syafie malam Lailatul-Qadar boleh ditemuai pada sepuluh yang akhir, tetapi malam yang ganjil terlebih diharapkan. Malam yang terlebih diharapkan daripada sekelian malam ganjil ialah malam dua puluh satu(21) dan malam dua puluh tiga(23) bulan Ramadan.

Imam Gazali dan lainnya ada menyebut bahawa malam Lailatul-Qadar boleh diketahui dengan meneliti satu hari bulan Ramadhan jatuh pada hari apa? 

  1. Sekiranya satu hari bulan pada hari ahad atau hari rabu maka malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke dua puluh sembilan (29).
  2. Sekiranya satu hari bulan hari isnin maka malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke dua puluh satu(21).
  3. Sekiranya satu hari bulan pada hari selasa atau jumat maka malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke dua puluh tujuh(27).
  4. Sekiranya satu hari bulan pada hari khamis maka Lailatul-Qadar pada malam yang ke dua puluh lima(25).
  5. Sekiranya satu hari bulan hari sabtu maka Lailatul-Qadar malam yang ke dua puluh tiga(23). 
Namun, apa yang paling penting tidak ada percanggahan pendapat ulama' bahawa Lailatul Qadr itu berlaku pada malam 10 terakhir Ramadhan memandangkan Rasulullah S.A.W mempertingkatkan amalan baginda 10 hari terakhir Ramadhan tersebut. Justeru itu, marilah kita berlumba-lumba meningkatkan amalan di hari-hari 10 terakhir bulan Ramadhan semoga kita bertemu Lailatul Qadr.


No comments:

Post a Comment