Tun Dr Mahathir Mohamad mengutarakan idea penubuhan institusi zakat dunia |
Post kali ini ingin berbicara mengenai cadangan yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam ucaptama beliau merasmikan Persidangan Antarabangsa Kewangan dan Ekonomi Islam Langkawi (LIFE) ketiga bertema "Perbankan dan Kewangan Islam: Wakaf, Zakat dan Sedekah sebagai Pemerkasaan dan Strategi Komuniti Untuk Transformasi Ekonomi Ummah".
Di dalam ucapan beliau, beliau telah mencadangkan agar sebahagian kecil zakat daripada negara-negara Islam yang kaya diberikan kepada negara-negara Islam yang terpinggir dan miskin. Menurut beliau, sebahagian daripada Asnaf yang layak menerima zakat di negara-negara Islam yang kaya sudah berkurangan dan malahan sumbangan yang diberikan kepada asnaf-asnaf di negara-negara Islam yang kaya ini sudah melebihi dan tiba masanya bagi negara-negara Islam yang kaya membantu asnaf-asnaf di negara Islam yang lain.Cadangan yang beliau utarakan ini bagi saya amat baik dan harus dilaksanakan segera bagi menunjukkan keutuhan perpaduan kita sesama negara Islam. Dalam usaha untuk kita membentuk perpaduan ummah yang kuat, bagi saya kita harus memastikan ekonomi dan pendapatan masyarakat Islam dunia hebat dan mampu bersaing dengan masyarakat lain. Hanya dengan kekuatan ekonomi kita dapat menganjakkan pencapaian masyarakat Islam ke satu arah yang boleh dibanggakan. Walaubagaimanapun, usaha ini harus bermula dan kewujudan Tabung Zakat dunia mampu merealisasikan harapan untuk melihat Islam terus membangun.
Jika kita mendengar mengenai International Monetary Fund(IMF) yang memberikan bantuan serta pinjaman kewangan dan banyak memberikan sokongan kepada negara-negara Eropah sekaligus menjana keuntungan hasil daripada pelaburan yang mereka pinjamkan, dunia Islam juga harus mempunyai keupayaan bagi mewujudkan dana khas bagi membantu negara-negara Islam untuk membangun. Bagi IMF, mereka lebih berteraskan keuntungan. Namun, bagi Badan Zakat Dunia yang dicadangkan oleh Tun Mahathir ini seharusnya memberi fokus kepada bantuan terus kepada asnaf-asnaf yang memerlukan di negara-negara Islam yang susah. Bukan berteraskan keuntungan sebaliknya menganggap ini sebagai satu ibadah dan tanggungjawab memacu ummah ke arah kemajuan.
Dalam ucapan beliau juga menyarankan umat Islam disarankan mengeluarkan zakat pada kadar 2.5% dan sekiranya kesedaran terhadap zakat ini meningkat, usaha yang boleh menggalakkan masyarakat Islam menyemai budaya berzakat, wakaf dan bersedekah sedikit sebanyak mampu meringankan penderitaan penduduk miskin di negara Islam yang lain seperti di Somalia, Sudan dan sebagainya. Bahkan beliau turut menyeru ulama' agar berijtihad mahupun melihat sekiranya boleh duit kutipan zakat itu digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas untuk dimanfaatkan masyarakat Islam yang susah. Sebagai contoh yang mungkin kita boleh fikirkan bersama ialah menggunakan kutipan zakat bagi membina hospital yang membolehkan kemudahan rawatan diberikan secara terus kepada masyarakat Islam yang susah, membina institusi pendidikan bagi membolehkan generasi baru Islam mendapat pendidikan yang sewajarnya yang boleh melengkapkan mereka bersaing membina kemajuan negara, membina empangan untuk tadahan air di negara-negara yang sering dilanda kemarau mahupun membina infrastruktur jalanan bagi merancakkan perkembangan ekonomi setempat. Perkara ini harus diteliti oleh para ilmuan Islam agar bersama-sama memikirkan apakah mekanisma yang terbaik bagi mengeluarkan negara-negara Islam yang kesusahan ini keluar dari kancah permasalahan tersebut.
Dengan tertubuhnya Institusi Zakat Dunia ini, saya yakin umat Islam pasti mampu bersatu dan perasaan sikap saling bantu membantu sesama ummah itu akan lahir. Tidak dinafikan kita ada usaha untuk membantu negara-negara Islam yang susah. Kutipan dana ada diwujudkan bagi membantu masyarakat Islam di Somalia, Kemboja dan sebagainya namun ianya lebih berbentuk kutipan yang dianjurkan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) mahupun atas inisiatif pihak-pihak tertentu. Sudah tiba masanya umat Islam bangkit dan lebih terkedepan di dalam mewujudkan gerakan mahupun sebarang bentuk kesatuan yang akan menggembelingkan tenaga semua pihak untuk mengatasi sesuatu isu dan permasalahan ummah. Jangan hanya asyik berpolitik Islam namun usaha ke arah memantapkan kemajuan Islam itu sendiri longgar dan menjadi retorik politik semata-mata. Usaha harus diadakan dengan penuh dedikasi, istiqamah dan bersungguh. Barulah kita dapat melihat sinar baru dunia Islam itu kembali terserlah.
Antara kelebihan lain yang boleh kita perolehi sekiranya institusi zakat dunia ini diwujudkan ialah:
1) Menggalakkan sikap bantu-membantu sesama dunia Islam yang akhirnya usaha menyatu-padukan ummah itu jauh lebih jelas terarah.
2) Semangat untuk berkebajikan atau menunaikan tanggungjawab ibadah berzakat, berwakaf mahupun bersedekah akan tersemai dikalangan masyarakat Islam dengan adanya badan-badan seperti ini sekaligus menyemai sifat murni ikhlas dan tolong menolong antara satu sama lain.
3) Bantuan dapat dihulurkan terus kepada asnaf-asnaf di negara Islam yang susah dan prasarana baru dapat diwujudkan seperti sekolah, hospital, jalanraya dan sebagainya yang mampu mengubah landskap ekonomi mahupun taraf hidup masyarakat tersebut.
4) Memaparkan kepada dunia bahawa Islam itu syumul, masyarakat Islam itu mulia hatinya dangan kewujudan badan-badan seperti ini sekaligus menangkis persepsi buruk yang dipaparkan barat melalui media terhadap dunia Islam.
5) Apabila kesatuan wujud, maka kekuatan akan timbul, hanya dengan itu kita tidak akan mudah diperkotak-katikkan oleh barat kerana kita mampu berharap terhadap bantuan yang bakal dihulurkan oleh saudara seMuslim kita yang lain. Jikan EU mampu bersatu untuk membantu Greece keluar daripada kemelut dan kegawatan ekonomi, mengapa tidak negara Islam membantu sesama kita.
6) Perpaduan ummah akan bertambah, perlaksanaan ibadah menjadi mudah, kekuatan semangat Islam turut kukuh dan gah.
Oleh itu, besarlah harapan untuk melihat usaha menubuhkan institusi zakat dunia ini menjadi satu realiti. Berharap agar kepimpinan negara-negara Islam yang ada mampu bersatu mencapai kata sepakat di dalam merealisasikan harapan ini. InsyaAllah... Bantuan Allah pasti akan tiba.
Langkawi Islamic Finance and Economics International Conference |
No comments:
Post a Comment