Jumaat semalam merupakan hari yang paling aku suka. Mama, Abah dan adik-adik datang ke rumah melawat aku, isteri dan anak-anak. Maklumlah, hari Sabtukan hari cuti. Jadi, kesempatan ini diisi oleh aku dan keluarga untuk berhimpun beramai-ramai dan melakukan apa juga aktiviti yang mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga. Mama, Abah, Ija dan Anis bercadang untuk tidur di rumah aku manakala Nana sekeluarga pulang ke rumah mereka malam tu kerana esok paginya hendak ke Kuantan.
Ag, Nana dan suaminya, Fazrul dan cahaya mata mereka Adam sampai di Cheras selepas maghrib setelah bershopping di Carrefour dan Mines. Manakala Mama, Abah, Ija dan Anis dari Bangi terus bergerak ke venue yang kami cadangkan untuk makan malam iaitu di Restoran Pormthip di Bandar Tasek Permaisuri. Jadi kami berkumpul di sana tepat jam 8.30mlm. Menu kami semalam memang sedap. Ikan siakap steam dan tiga rasa, tomyam, som tam, green curry dan butter prawn. Memang layan. Lepas habis makan dalam jam 10mlm, semua berkumpul di rumah aku.
Actually, rumah aku ni aku beli daripada Mama dan Abah memandangkan aku taknak diorang jual rumah tu sebab terlalu banyak memori dan kenangan aku dan adik-adik membesar di sana. Aku beli rumah tu kerana aku tahu di situlah tempat aku belajar mengenal Tuhan kerana lokasi rumah tu terletak di hadapan surau. Di situlah Abah melatih aku untuk mengimami sembahyang jemaah, membaca khutbah hari raya dan sebagainya. Di situ jugalah tempat yang aku rasakan banyak membentuk keperibadian aku sebagai seorang anak dan sebagai seorang abang.
Semalam, ketika Mama, Abah dan adik-adik berada di rumah sambil bersembang-sembang sambil melihat kembali album-album lama keluarga kami, suasana keceriaan itu menggamit memori aku ketika kami sekeluarga tinggal bersama di sini. Teringat aku pelukan dan belaian manja Mama dan Abah sepanjang aku bersama mereka di sini. Teringat aku akan setiap kenangan sebilik bersama Ag. Teringat aku setiap celoteh "mangkuk tambah" Nana setiap kali kami adik-beradik bergaduh. Teringat aku akan setiap kecomelan dan ke"cute"an adik Ija dan Anis... Segalanya pengalaman dan kenangan yang begitu indah sekali yang tidak akan sekali-kali aku lupakan.
Pernah sekali Ag tertumpahkan gula di dapur. Dia yang bagi tumpah, lepas tu boleh dia jerit "Mama, Along tumpahkan gula"... Aku memang geram masa tu sebab bukan aku yang buat... Dahlah tu, tetiba datang pulak Nana mengiyakan aku yang jatuhkan gula tu kat Mama... Apalagi, akulah yang kena marah...
Pernah sekali aku dan Ag yang pada masa tu kaki komik... Maklumlah macam-macam komik ketika kami membesar dulu... Dewata Raya, Pendekar Laut, Jejak Wira, Raja Rimba, Dragon Ballz dan macam-macam lagi merupakan kegilaan kami berdua... Sampai penuh satu kotaklah koleksi komik kami... Ingat lagi Mama ngan Abah tak suka kami beli komik ni... Jadi, setiap kali lepas beli, Ag sorokkan komik dalam baju bawak masuk dalam rumah... Yang aku pulak jadi tukang cover line... Hehehe... Memang kenangan yang cukup manis buat aku...
Apapun, penulisan aku kali ini adalah sekadar untuk aku meluahkan rasa gembira aku. Dah lama Mama dan Abah tak datang tidur di rumah. Aku tersangat manghargainya. Begitu cepat masa berlalu... Dulu, aku dan adik-adik yang menceriakan rumah ini... Kini, helai tawa anak-anak aku pulak yang memeriahkannya...
Ya Allah!!! Aku bersyukur di atas kebahagiaan yang kau berikan ini... Aku bersyukur kerana Kau lahirkan aku dalam keluarga bahagia ini... Aku bersyukur nikmat kasih sayang yang Kau kurniakan ini... Kau kekalkanlah kebahagiaan kami ini hingga ke alam abadi... Ameen...
Buat Mama dan Abah, tidak ada yang lebih membahagiakan Along selain dari bersalaman mencium kedua tapak tangan Mama dan Abah memohon restu dan keredhaan... Tidak ada yang lebih mengujakan Along selain mendengar setiap kata-kata sokongan dan dokongan...
Buat adik-adik, tidak ada yang lebih Along harapkan agar kejayaan demi kejayaan kita gapai dalam hidup tanda berjayanya Mama dan Abah mendidik kita semua... Tidak ada yang lebih Along banggakan selain daripada memiliki adik-adik yang sentiasa hormat dan menyayangi Along sebagai abang biarpun penuh kekurangan...
Buat isteri tercinta, tidak ada apa yang Abang impikan selain kita membina mahligai bahagia menyambung tradisi keluarga warisan Mama dan Abah buat kita... Tidak ada apa yang menjadi idaman mengisi kebahagiaan di dalam hati dan sanubari anak-anak kita nanti...
Buat semua...
Terima kasih atas pengalaman ini...
Terima kasih atas kasih sayang ini...
Terima kasih atas setiap memori yang menggamit kenangan...