Sunday, 22 May 2011

MENCARI SAKINAH...

Ceramah yang amat aku sukai sejak kebelakangan ini... Mengajar aku erti mengejar kehidupan hakiki di akhirat nanti... Syurga yang ku cari bukannya kebahagiaan duniawi... Lebihkan Syukur kerana maqamnya jauh lebih tinggi dari Sabar... Dan apa yang paling penting... Hasbunallah Wa Ni'mal Wakil...
Maha Suci Mu Ya Allah, Bagiku Engkau Sudah Mencukupi...


Harap kita semua mendapat manfaat daripadanya...

MASIH INGATKAH KITA TRAGEDI INI?




Tragedi runtuhnya Kondominium mewah Highland Tower yang berlaku pada 11 Disember 1993 merupakan satu sejarah hitam dalam negara yang telah mengorbankan seramai 48 nyawa. Seharusnya kejadian ini dijadikan iktibar agar pihak berkuasa meneliti dengan lebih terperinci setiap aktiviti pembangunan yang dilaksanakan agar ianya semalat didiami dan mengikut spesifikasi yang digariskan. Runtuhnya Highland Tower ini memberikan satu tamparan yang hebat buat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan agar lebih telus di dalam melaksanakan amanah yang digalas mereka. Sekiranya kajian terperinci dibuat, sudah pasti kehilangan nyawa ini dapat kita elakkan. Janganlah sudah terhantuk, baru tenggadah. Sudah roboh satu blok A, kondominium Highland Tower ini yang telah mengorbankan nyawa, barulah semua celik mata dan sibuk menuding jari menyalahkan satu sama lain. Malaysia merupakan sebuah negara yang diishtiharkan bebas daripada ancaman gempa bumi. Namun, belumpun gempa bumi berlaku, terlalu banyak cerita runtuhan telahpun kita dengari.


Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa 2008
Pada 6 Disember 2008, telah berlaku sekali lagi kejadian tanah runtuh yang melibatkan kediaman. Tanah runtuh Bukit Antarabangsa telah mengorbankan 4 nyawa dan mencederakan 14 yang lain memberikan tamparan sekali lagi tentang keberkesanan kita di dalam memastikan perumahan di lereng-lereng bukit selamat didiami. 14 rumah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama ranap begitu sahaja tepat jam 3.50 pagi. Lebih mengejutkan kita ialah secara faktanya kawasan tersebut terletak 1.5km daripada tapak kondominium Highlang Tower runtuh. Bertungkus-lumuslah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan JKR menyiapkan laporan lengkap tentang sebab kejadian dan tindakan meluluskan pembangunan tanpa kajian terperinci dan tanpa mengikuti prosedur yang ditetapkan amatlah dikesali semua pihak.

Tanah Runtuh Madrasah At-Taqwa
 
Dua hari lepas, sekali lagi kita dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh yang amat memilukan hati. Meragut lebih 11 nyawa anak-anak yatim Madrasah At-Taqwa telah memberikan kita iktibar bahawa satu tindakan yang lebih drastik dan ampuh perlu diambil agar kejadian tanah runtuh ini tidak akan terulang lagi. Anak-anak yang tidak berdosa ini pergi bukan disebabkan kesalahan mereka tetapi mungkin disebabkan kelalaian dan kealpaan kita di dalam merancang pembangunan. Anak-anak ini menjadi mangsa hanya kerana kecuaian kita memastikan agar semua prosedur keselamatan dilaksanakan dengan mengikut aturan dan siapakah yang perlu dipersalahkan? Memang mudah apabila lidah berkata, biasalah… Benda dah nak jadi… Itu semua ketentuan Allah… Ini bencana alam, kita tidak ada kuasa menahan dan menghalangnya… Tetapi, adakah benar kita telah berusaha memastikan perkara ini tidak berlaku? Adakah kita benar-benar memastikan yang setiap bangunan yang dibina selamat daripada ancaman keruntuhan seperti yang telah berlaku? Adakah kita masih mahu menyalahkan alam sedangkan tangan kita sendiri yang merosakkan?

Soalan ini hanya boleh dijawab oleh mereka yang bertanggungjawab. Besar harapan saya agar kerajaan dan pihak berkuasa tempatan memastikan perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa yang akan datang… Pastikan setiap bangunan memiliki CF, prosedur pembinaan dipatuhi dan apa yang paling penting ialah selamat untuk didiami… Pembangunan di cerun dan lereng-lereng bukit harus dijauhi dan diberhentikan untuk seketika… Bangunan-bangunan di lereng-lereng bukit perlukan pemeriksaan berkala agar sistem amaran awal dapat diberikan kepada semua agar dapat dielakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku lagi…

Kejadian Tanah Runtuh - Hulu Langat - Al-Fatihah buat yang telah pergi


Al-Fatihah buat semua mangsa kejadian tanah runtuh di rumah anak yatim, Madrasah At-Taqwa Hulu Langat. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka... Ameen.