Sunday 29 May 2011

SEKITAR PEMILIHAN PAS: Calon Timbalan Presiden PAS


Sekarang ini pakat sibuk bercerita mengenai pemilihan di dalam Muktamar PAS yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Seperti parti-parti yang lain, pemilihan pucuk pimpinan PAS yang baru bakal merencana perjuangan PAS pada masa akan datang, bakal mencerminkan cerminan kepimpinan Islam yang diingini oleh pengikut-pengikut dan penyokong setia PAS, dan bakal menentukan samada adakah PAS benar-benar mampu bersaing dengan hebat pada pilihanraya umum ke-13 yang akan datang... Tertarik aku menulis serba sedikit mengenai pendapat aku memandangkan sekiranya UMNO tidak wujud, sudah pasti parti kedua yang bakal aku sokong adalah PAS... BUKAN KEADILAN... Justeru itu, serba sedikit perkembangan politik PAS aku ikuti biarpun dari kejauhan kerana politik tidak bermakna aku menjumudkan pemikiran aku untuk berfikir mengenai UMNO dan BN semata-mata... Maklumat mengenai parti-parti pembangkang yang lain turut perlu aku ikuti agar boleh membuat penilaian yang adil dan bijaksana...

Perkara yang bakal aku sentuh di dalam artikel ini ialah siapakah yang paling layak untuk memegang jawatan Timbalan Presiden PAS setelah Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang mengekalkan kemenangan sebagai Presiden PAS. Berdasarkan keputusan pencalonan yang diterima daripada keseluruhan bahagian, terdapat 3 calon yang dah confirm akan bertanding jawatan tersebut. Mereka ialah:

1) Ustaz Nasharudin Mat Isa
2) Tuan Ibrahim Tuan Man
3) Mohamad Sabu

Mari kita kenali sedikit sebanyak mengenai latarbelakang calon yang bakal bertanding ini:

Calon pertama: Penyandang: Ustaz Nasharudin Mat Isa:

Nasharudin Mat Isa

Ustaz Nasharudin Mat Isa merupakan penyadang jawatan Timbalan Presiden PAS dan juga merupakan ahli Parlimen Bachok, Kelantan. Beliau dilahirkan di Negeri Sembilan pada tahun 1962 dan kini secara kiraannya berumur 49 tahun. Merupakan lulusan undang-undang Syariah di Fakulti Syariah dan kemudiannya menjadi pembantu pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Melanjutkan pelajaran di Glasgow Universiti, Scotland dan kemudian melengkapkan pengajian Sarjana dalam “Comparative Law” di UIAM. 1997, beliau merupakan pensyarah undang-undang di UKM, Bangi dan bersara menyertai politik pada tahun 1999. Karier politik beliau mula menyinar apabila dikejutkan dengan perlantikan sebagai Setiausaha Agong PAS oleh Allayarham Datuk Fadzil Noor. Pada tahun yang sama beliau bertanding di Yan, Kedah dan menang. Walaubagaimanapun, sudah resam orang politik, pada tahun 2004, beliau dinamakan sebagai calon di Besut yang akhirnya tewas. Pada tahun 2008, beliau kembali melakar kemenangan apabila menewaskan Datuk Awang Adek di Parlimen Bachok. Pada pemilihan PAS sebelum ini, beliau telah menawarkan diri bertanding sebagai Timbalan Presiden PAS setelah Tuan Guru Datuk Dr Haron Din tidak berhasrat memegang jawatan tersebut lagi. Sebagai salah seorang calon yang bakal bertanding, Ustaz Nasharudin mempunyai karakter kepimpinan Islam yang unggul. Kebolehannya bertutur dengan baik dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab merupakan pelengkap sebagai pemimpin PAS masa akan datang yang mampu diketengahkan di dalam persekitaran kemajmukan masyarakat dan kepelbagaian agama di dalam negara. Approach politik yang bersederhana amat menarik perwakilan PAS untuk terus menyokong beliau dan turut disegani oleh lawannya di dalam UMNO. Walaubagaimanapun, persoalan samada Ustaz Nasharuddin Mat Isa mampu mempertahankan jawatannya ini sedikit sebanyak tercalar kerana beliaulah yang menjadi penggerak agar ditubuhkan Kerajaan Perpaduan, biarpun idea ini sebenarnya datang daripada Presiden PAS itu sendiri. Namun, kebanyakan daripada ahli-ahli PAS melihat Ustaz Nasharudinlah yang menjuarai idea kerajaan Perpaduan ini yang sememangnya mendapat tentangan daripada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Justeru, pada pemilihan kali ini, beliau dilabel sebagai Agen UMNO, Pengkhianat PAS dan Tali Barut Kerajaan. Persoalannya, mampukah beliau mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS… Hanya Perwakilan PAS yang bakal memberikan jawapan.

Calon kedua: Hj Mohamad Sabu

Mohamad Sabu



Haji Mohamad Sabu merupakan calon yang mendapat pencalonan tertinggi. Naib Presiden PAS ini juga merupakan bekas ahli Parlimen Kuala Kedah bagi tahun 1999-2004 dan pada pilihanraya 2008, beliau sekali lagi kecundang di Parlimen Kuala Terengganu. Merupakan aktivis PAS yang pernah ditahan ISA atas tuduhan terlibat dengan gerakan pelampau di bawah operasi lalang. Beliau banyak memainkan peranan di dalam PAS. Ceramah-ceramah beliau bagaikan penyambung kesinambungan perjuangan PAS daripada dahulu sehinggalah sekarang. Pada tahun 2007, beliau juga berjaya menganjurkan perhimpunan BERSIH bagi memastikan pilihanraya berlangsung secara adil tanpa ada sebarang bentuk penipuan. Mat Sabu panggilan mesranya cukup terkenal dengan keupayaannya berpidato bahkan dari segi pemikiran politiknya kritis dan melawan arus perdana perjuangan politik. Penglibatan awal Hj. Mohamad dalam gerakan Islam ialah dengan menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1975 selepas dipecat dari Institut Teknologi Mara (ITM) kerana penglibatannya dalam tunjuk perasaan menentang Akta Universiti. Pada tahun 1978, Hj. Mohamad menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pada tahun 1981, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1982, beliau menjadi calon PAS di Kepala Batas menentang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga di DUN Penanti namun tewas. Pada tahun 1983, Hj. Mohamad dilantik sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat hinggalah tahun 1985. Dalam pilihanraya 1986 pula, Hj. Mohamad bertanding menentang Anwar Ibrahim di Permatang Pauh. Pada tahun 1989, beliau dipilih sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS pusat hinggalah beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan itu pada tahun 1997. Beliau mula menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada tahun 1991. Semasa menjadi Naib Ketua Dewan PAS Pusat, beliau dihantar untuk bertanding di Nilam Puri dalam Pilihanraya Umum 1990 yang penuh bersejarah di mana PAS berjaya menerajui semula kerajaan negeri Kelantan. Namun, tidak banyak yang dapat dikongsikan dengan semua pembaca mengenai latar belakang pendidikan yang lengkap calon ini. Dalam pentandingan kali ini, Mat Sabu dilihat sebagai pencabar utama Ustaz Nasharudin memandangkan pencalonan yang tinggi beliau perolehi. Persoalannya, adakah kepimpinan beliau mampu meneruskan kesinambungan agenda pejuangan PAS? Adakah beliau merupakan liabliti kepada PAS dengan isu-isu peribadi yang diasak oleh juak-juak UMNO? Adakah beliau mampu mencerminkan cerminan pimpinan Islam dan Ulama’ yang diingini oleh semua? Persoalan yang tidak mampu diberikan jawapan.

Calon yang ketiga: 

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tidak banyak yang dapat dikongsikan mengenai latar belakang calon yang seterusnya ini iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau adalah salah seorang daripada Naib Presiden Pas dan pada masa yang sama beliau juga merupakan Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang. Pada tahun 1999,beliau mula menyertai pilihanraya umum ke 10 dan bertanding di Dun Jengka dan memperoleh kemenangan setelah menewaskan calon Umno,Dato Zainal Hassan dengan majoriti 319 undi. Walaubagaimanapun,beliau gagal mempertahankan kerusi Dun tersebut pada tahun 2004. Pada tahun 2008 pula,beliau masih gagal menawan kembali kerusi Dun Jengka pada Piliharaya Umum ke 12, walaubagaimanapun telah berjaya merapatkan jurang majoriti kepada hanya 596 undi. Mengenai latar belakang pendidikan, beliau merupakan lulusan Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Lebih dikenali sebagai seorang calon yang sederhana, bukan golongan populist dan dari segi pendekatannya pertengahan namun mempunyai pengaruh yang tidak kurang hebatnya. Tuan Ibrahim juga dilihat mempunyai kelebihan berbanding dengan Mohammad Sabu.  Ini adalah selaras dengan usaha PAS untuk mengekalkan tampuk penguasaan ulamak dalam hiraki kepimpinan PAS. Namun, adakah beliau layak untuk dinobatkan sebagai Timbalan Presiden PAS dan bersaing di dalam kancah politik Nasional sedangkan beliau hanya pernah menjadi ADUN Jengka buat satu penggal sahaja? Adakah pengaruh beliau mampu menjamin kejituan perjuangan PAS yang dilihat sebagai sebuah parti alternatif orang Melayu Islam di Malaysia? Tepuk dada Tanya selera…



Pada pendapat saya, adalah baik kiranya Ustaz Nasharudin dikekalkan sebagai Timbalan Presiden memandangkan beliau membawa suara pimpinan pelapis PAS yang jauh lebih terbuka, moderate dan mampu bekerjasama dengan mana-mana pihak di dalam memastikan agenda memperjuangkan Islam dan rakyat terbela. Pada masa yang sama, cerminan kepimpinan ulama’ dan professional turut diteruskan kiranya Ustaz Nasharudin terpilih. Golongan professional muda dan pertengahan akan jauh lebih tertarik untuk terus mendokong dan menyokong PAS berbanding calon-calon yang lain. Mengenai imej beliau yang tercalar sebagai pro-UMNO mahupun pengkhianat PAS, secara rasionalnya apa yang beliau cuba ketengahkan adalah sudah tiba masanya orang Melayu Islam bersatu dan bekerjasama agar masa depan Islam terjaga. Sedangkan Ansar dan Muhajrin disatukan atas dasar hijrah Rasulullah… Sedangkan Aus dan Khazraj mampu disatukan… Hamas dan Fatah mampu mencapai perdamaian, inikan pula PAS dan UMNO… Namun, tujuan murni Ustaz Nasharudin itu telah disalah ertikan dan beliau menjadi mangsa keadaan… Adakah kita juga turut sama menyemai rasa kebencian dan menolak penyatuan... Pemikiran Ustaz Nasharudin inilah pemikiran politik Islam yang ingin melihat semua bersatu agar Islam dapat diperkukuhkan dan generasi akan datang tidak akan terjebak lagi dengan konflik politik sempit antara Melayu dan Islam yang tidak sesekali menguntungkan… Pada masa yang sama, menilai dan melihat kepada prestasi Ustaz Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok sebagai pemimpin utama parti, beliau selepas dua penggal  memegang jawatan Timbalan Presiden didakwa gagal untuk mengangkat parti berada di kedudukan terbaik selain tidak membawa lebih banyak perubahan di dalam parti. 

Namun, sekiranya yang dipilih perwakilan PAS ialah Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau juga merupakan calon yang sesuai yang meneruskan tradisi kepimpinan ulama’ di dalam PAS. Kederhanaan beliau mampu disegani semua pihak dan pada masa yang sama beliau mampu menjadi pemimpin yang meneutralkan pergolakan politik di dalam PAS. Maklumlah dalam PAS dah ada puak Erdogan lah, Ulama'lah itulah inilah. Walaupun Tuan Ibrahim dilihat calon bukan pilihan dari segi pencalonan yang diberikan di peringkat bahagian, tetapi ternyata beliau adalah yang paling popular bagi menggantikan Ustaz Nasharudin. Persaingan jawatan timbalan presiden PAS kali ini agak unik kerana ia menyaksikan pertembungan dua pemimpin ulama dan seorang dari golongan profesional. Adakah undi golongan ulama akan berpecah ekoran keputusan Tuan Ibrahim memutuskan untuk turun gelanggang sekali gus membuka peluang cerah kepada Mohamad Sabu? Hanya perwakilan yang layak menjawabnya…

Jika dilihat dari sudut pencalonan diterima, Mohamad atau lebih dikenali sebagai “Mat Sabu” berpeluang untuk memenangi kerusi itu kali ini. Di atas kertas, ramai yang berpendapat beliau akan memenangi jawatan itu. Namun, ia masih belum menjamin kedudukan itu walaupun mendahului senarai pencalonan. Peluang untuk Mat Sabu menang itu masih cerah kerana beliau bukan sahaja pemimpin yang sudah lama dan diterima tapi salah satu kelebihan beliau adalah beliau seperti selebriti dalam PAS. Beliau jauh lebih popular jika hendak dibandingkan dengan Ustaz Nasha dan Tuan Ibrahim. Namun, tidakkah kita merasakan populariti bukanlah sesuatu yang kita cari… Yang kita cari adalah pemimpin yang bukan menjadi liabliti kepada PAS… Yang kita cari adalah pemimpin yang boleh membawa kesinambungan perjuangan Islam di dalam PAS itu sendiri… Yang kita cari adalah pemimpin yang mampu digeruni dan disegani lawan… Dengan menangnya Mat Sabu, apakah persepsi semua terhadap kepimpinan PAS adalah perkara yang perlukan penilaian…

Apa yang penting, aku bukan ahli PAS… Aku tak layak pun nak bercerita lebih-lebih mengenai pemimpin PAS dan aku tak memilih pun… Cuma, menulis agar dapat dianalisa pembaca mengenai apa yang aku rasa mengenai Muktamar PAS kali ini… Sekadar berpendapat… Cuma pemilihan PAS kali ini harap-harap tak dipengaruhi oleh insan ini… Cukup-cukuplah tu...


Siapa aku nak naikkan dalam PAS kali ni?


No comments:

Post a Comment