Thursday, 21 July 2011

Hikmah Berpuasa Sunat Isnin dan Khamis...

Hari ini aku berpuasa sunat hari Khamis... Salah satu sebabnya ialah nak buat amalan sunat nak tambah pahala maklumlah dah makin meningkat umur nie, makin dekatlah dengan liang lahad orang tua-tua kata... Jadi aku pun berpuasalah... Tujuan yang kedua ialah nak kurangkan berat badan yang dah mencecah 130kg... Dan yang ketiga sebab isteri aku pun puasa hari ini, aku pun nak sama-sama puasa jugaklah... Meriah rasanya bila berbuka puasa bersama-sama...

Persoalannya, apakah dalil yang menggalakkan puasa hari Isnin dan Khamis ini. Menurut Hadith Riwayat Imam Tirmizi yang diriwayatkan dari A'ishah R.A menceritakan bahawa "Rasulullah S.A.W amat menjaga puasanya di hari Isnin dan Khamis". Cuma persoalan yang timbul mengapakah Rasulullah begitu menjaga puasa baginda pada hari-hari tersebut. Abu Hurairah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda; “Dibentangkan amalan-amalan di hadapan Allah pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (di hadapan Allah) pada ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam Tirmizi). Mungkin disebabkan itulah kita digalakkan berpuasa hari Isnin dan Khamis.
 
Selain dari itu, Abi Qatadah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab; “Itulah hari aku dilahirkan dan hari aku diutuskan (menjadi Nabi) atau hari diturunkan wahyu kepadaku” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Antara hikmah berpuasa sunat yang lain ialah kita akan memperolehi kesihatan jasmani dan rohani. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat." Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. lagi: "Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit."

Puasa juga mempunyai hikmah dan faedah seperti:
  • Menunjukkan bahawa kita bersyukur kepada Allah s.w.t. atas limpah kurnia nikmatNya yang tidak terhingga
  • Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat kasihan belas terhadap orang-orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik kehidupan mereka
  • Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti tamak, sombong, hasad dengki dan lain-lain lagi
  • Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup
  • Memperolehi kecerdasan akal dan fikiran sebagaimana disebut dalam satu riwayat maksudnya: "Orang yang lapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya." 

    Oleh kerana sangat besar faedah dan manfaatnya ibadah puasa kepada kita, maka saya menyeru kepada semua sahabat-sahabat marilah berpuasa sunat. Ia juga sebagai latihan awal menghadapi Ramadhan...

1 comment: