Maybe some of the golfers wanted to know how to perfectly swing like a Tiger Wood. This is some tips for you to practice... Hope you can play better than him one day...
Tuesday, 31 May 2011
Oh Yeah!!! Mendidih Bersama Sharifah Amani...
Sementara duduk dalam pejabat menunggu meeting petang ni, tetiba aku boleh layan pulak Oh Yeah!!! Mendidih Bersama Sharifah Amani... Memang agaknya inilah perangai wartawan-wartawan Malaysia dan artis-artis Malaysia agaknyer... Memang kelakor bila tengok Jozan, Afdlin Shauki dan Nabil tak putus-putus mengutarakan soalan pada Amani... Layan...
Ehsan YouTube...
Aku Dan Hidup... Sebuah Perjalanan... (Part 1: Tanggungjawab Tujuan Hidup)
Hari ini, 1hb Jun 2011. Alhamdulillah... Aku masih sihat untuk terus bekerja biarpun aku tidak tahu apakah yang bakal terjadi padaku di dalam syarikat pada masa akan datang... Aku masih bernafas segar dan denyut nadi masih rancak berdegup untuk terus melihat anak-anak aku membesar agar menjadi seorang Muslim yang memahami agama dan berjaya... Aku masih hidup untuk terus menikmati nikmat dunia yang Allah Ta'ala berikan meskipun aku tahu ianya hanya bersifat sementara... Aku terus celik melihat keindahan dunia biarpun aku tahu syurga jauh lebih indah di sana... Aku terus bercakap yang bukan-bukan melayan karenah manusia yang tidak pernah tahu erti cukup sambil aku menadah tangan bersyukur dengan apa yang tuhan berikan kepada aku... Aku masih mampu berjalan hari ini agar dapat aku teruskan perjuangan hidup yang penuh likuan dan cabaran dengan hati yang penuh redha... Aku bersyukur pada Mu Ya Rabb... Biar apa pun yang bakal terjadi, bagiku Engkau sudah memadai... Biar apapun yang bakal berlaku, aku tahu Engkau tetap memerhatikan dan di dalam hati ku selalu mengharapkanMu... Kerana hanya padaMu tempat aku sandarkan harapan...
Hidup adalah satu perjalanan... Dari sebuah kelahiran sehingga tibanya kematian... Dari saat aku dikeluarkan dari perut seorang wanita yang bermahkota ibu, sehingga aku yakin suatu hari nanti aku akan dimasukkan ke perut bumi, kembali ke sisi Mu Ya Rahman... Pagi ini, dalam kereta menuju ke pejabat. Aku bertanya pada diri aku... Apa tujuan aku hidup? Apa tujuan hidup aku? Apakah hidup aku bertujuan? Dan apa sebenarnya yang aku tuju dalam hidup?
Memikirkan mengenai tujuan hidup, sebagai seorang Muslim, berdasarkan firman Allah di dalam Surah Al-An'am: 165 maksudnya "Dan Ia (Allah)lah yang telah menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi." Aku yakin tujuan aku dihidupkan di atas muka bumi ini tak lain dan tak bukan adalah untuk menjadi khalifah di bumi Allah... Menjadi pemimpin, pentadbir dan pengurus... Dan perkara pertama yang menjadi tujuan hidup aku sekarang ialah menjadi khalifah untuk diri aku sendiri... Kerana aku tahu dunia ini hanyalah sebuah persinggahan. Oleh itu, aku harus memimpin diri aku untuk dipersiapkan agar apabila tiba ketikanya aku dikembalikan, aku sudah cukup bersedia dengan amalan kebajikan membuktikan ketaatan dan kesetiaanku kepada Mu Tuhan... Tujuan aku hidup hanyalah untuk berbakti kepada Mu Ya Allah... Namun, untuk menjadi khalifah buat diri sendiri sudah cukup sukar dan berat bebanannya, inikan pula menjadi khalifah buat mereka yang aku pimpin. Mendisiplinkan diri di dalam melaksanakan ibadah, mengawal nafsu tamak dan amarah bukanlah perkara yang mudah... Mendidik diri agar senantiasa bersyukur dengan setiap nikmat kurniaanMu Ya Allah amatlah susah... Bersabar, beramanah dan menetapkan hati mencari keredhaanMu adalah sifat di dalam diri aku yang mudah goyah ...
Tetapi aku yakin aku masih mempunyai hati untuk kembali ke jalan yang benar setiap kali aku goyah dan gundah... Aku masih mempunyai naluri dan fitrah mencariMu Ya Allah setiap kali aku susah... Aku masih mempunyai akal untuk berfikir membezakan yang mana satu tujuan hidupku yang betul dan yang mana satukah yang salah... Berbekal keyakinan ini, aku yakin tujuan hidup aku adalah mencari Sa'ada Haqiqiya, ketenangan dan kebahagiaan abadi di sisi Mu Ya Allah kerana itu sahaja tujuan hidup yang terbaik yang mampu aku simpulkan buat masa ini. Keredhaan dan restuMu adalah tujuan hidupku...
Memerhatikan keadaan sekeliling, aku sedar bahawa sedari waktu aku dilahirkan, aku dilahirkan bersama tanggungjawab dan beban... Tanggungjawab sebagai khalifah Allah, tanggungjawab sebagai seorang anak, tanggungjawab sebagai seorang abang kepada adik-adik... Dan kini, aku bertanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah kepada dua orang anak... Hidup adalah satu tanggungjawab... Memegang dan melaksanakan tanggungjawab merupakan hidup... Dan hidup bertanggungjawab adalah salah satu daripada tujuan hidup...
Di saat umur ku yang sudah hampir mencecah 29 tahun, antara tujuan lain di dalam hidup aku sekarang adalah untuk menjadi anak soleh dan terus bekerja kuat demi menjaga kedua orang tuaku... Menjadi abang penyayang yang mampu menyokong adik-adikku... Menjadi suami yang baik, mampu disegani dan dihormati seorang wanita yang bergelar isteri... Menjadi ayah mithali yang mampu mendidik anak-anak agar menjadi insan cemerlang dan berjaya duniawi dan ukhrawi... Aku tidak perlu harta yang bertimbun-timbun sekiranya harta itu membuatkan aku takabbur dan riya', aku tidak perlu rumah yang besar sekiranya hanya menunjuk-nunjukkan kekayaan sedangkan aku miskin akhlak dan rasa kemanusiaan, aku tidak perlu kereta yang mewah sekiranya ianya menjadikan aku insan yang bongkak... Kerana harta yang bertimbun bukan tujuan hidup aku... Rumah yang besar bukan tujuan hidup aku... Kereta yang mewah bukan tujuan hidup aku... Tetapi, setiap tanggungjawab yang aku bicarakan sebelum ini adalah tujuan sebenar hidup... Jadi biar tidak berjaya mengumpul jutaan harta, asal jangan gagal melaksanakan tanggungjawab hidup dengan sempurna...
Ya Allah! Hari ini hambaMu ini menadah tangan berdoa' padaMu... Jadikanlah aku insan yang mempunyai tujuan hidup... Jadikanlah aku insan yang bertanggungjawab di dalam hidup... Jadikanlah aku insan yang menjadikan tanggungjawab sebagai tujuan hidup... Ameen...
Sunday, 29 May 2011
Puasa Sunat Isnin dan Khamis...
Sementara tengah duduk boring di ofis sambil melayan baik punyer perut yang tengah berkeroncong kerana menunaikan ibadah berpuasa sunat hari ini, aku terdetik nak tahu lebih lanjut daripada mana arahannya digalakkan berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis... Kenapa tak dibuat pada hari-hari yang lain... Jadi, aku pun surf the internet agar dapat maklumat yang aku inginkan...
Salah satu sebab kita sebagai Muslim digalakkan berpuasa Sunat pada hari Isnin dan Khamis ini adalah bersandarkan Hadith Soheh daripada Rasulullah s.a.w yang mana diriwayatkan dari ‘Aisyah r.a. menceritakan bahawa; “Adalah Rasulullah s.a.w. amat menjaga puasa pada hari Isnin dan Khamis” (Riwayat Imam Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan soheh).
Kedua; Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda; “Dibentangkan amalan-amalan di hadapan Allah pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (di hadapan Allah) pada ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam Tirmizi).
Ketiga; Abi Qatadah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab; “Itulah hari aku dilahirkan dan hari aku diutuskan (menjadi Nabi) atau hari diturunkan wahyu kepadaku” (Hadis riwayat Imam Muslim).
Aku baru tahu hari ini Rasulullah dilahirkan pada hari Isnin, diangkat kenabian pada hari Isnin dan diturunkan wahyu pertama Iqra' pada hari Isnin... Banyak juga rupanya cerita yang terkandung di sebalik hari Isnin...
Sesetengah pendapat ada menyatakan yang puasa sunat isnin dan khamis selepas nisfu syaaban tidak digalak bagi org yang tidak mengamalkan puasa sunat tersebut sebelumnya kecuali mereka yang sentiasa mengamalkan puasa sunat tersebut.
Pendapat ini adalah benar bersandarkan kepada dalil daripada hadith Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud : "Apabila tinggal setengah bulan dari bulan Sya'ban maka janganlah kamu berpuasa" (Riwayat at-Turmidzi). Puasa yang dilarang dalam hadith ini ialah puasa sunat yang tidak bersebab. Bagi orang yang melazimi puasa sunat Isnin / Khamis sebelum itu, atau hendak menunaikan puasa wajib (qadha',nazar atau kifarah) adalah tidak dilarang.
Apapun, aku berpuasa adalah dengan niat menunaikan ibadah sunat puasa lillahiTa'ala... Cuma, antara faedah lain yang dapat daripada puasa sunat Isnin Khamis ini ialah dapatlah aku merehatkan enjin di dalam perut yang sekian lama tak berhenti bekerja... Melatih aku untuk menghadapi Ramadhan dan menyihatkan tubuh badan...
SEKITAR PEMILIHAN PAS: Calon Timbalan Presiden PAS
Sekarang ini pakat sibuk bercerita mengenai pemilihan di dalam Muktamar PAS yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Seperti parti-parti yang lain, pemilihan pucuk pimpinan PAS yang baru bakal merencana perjuangan PAS pada masa akan datang, bakal mencerminkan cerminan kepimpinan Islam yang diingini oleh pengikut-pengikut dan penyokong setia PAS, dan bakal menentukan samada adakah PAS benar-benar mampu bersaing dengan hebat pada pilihanraya umum ke-13 yang akan datang... Tertarik aku menulis serba sedikit mengenai pendapat aku memandangkan sekiranya UMNO tidak wujud, sudah pasti parti kedua yang bakal aku sokong adalah PAS... BUKAN KEADILAN... Justeru itu, serba sedikit perkembangan politik PAS aku ikuti biarpun dari kejauhan kerana politik tidak bermakna aku menjumudkan pemikiran aku untuk berfikir mengenai UMNO dan BN semata-mata... Maklumat mengenai parti-parti pembangkang yang lain turut perlu aku ikuti agar boleh membuat penilaian yang adil dan bijaksana...
Perkara yang bakal aku sentuh di dalam artikel ini ialah siapakah yang paling layak untuk memegang jawatan Timbalan Presiden PAS setelah Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang mengekalkan kemenangan sebagai Presiden PAS. Berdasarkan keputusan pencalonan yang diterima daripada keseluruhan bahagian, terdapat 3 calon yang dah confirm akan bertanding jawatan tersebut. Mereka ialah:
1) Ustaz Nasharudin Mat Isa
2) Tuan Ibrahim Tuan Man
3) Mohamad Sabu
Mari kita kenali sedikit sebanyak mengenai latarbelakang calon yang bakal bertanding ini:
Calon pertama: Penyandang: Ustaz Nasharudin Mat Isa:
Nasharudin Mat Isa |
Ustaz Nasharudin Mat Isa merupakan penyadang jawatan Timbalan Presiden PAS dan juga merupakan ahli Parlimen Bachok, Kelantan. Beliau dilahirkan di Negeri Sembilan pada tahun 1962 dan kini secara kiraannya berumur 49 tahun. Merupakan lulusan undang-undang Syariah di Fakulti Syariah dan kemudiannya menjadi pembantu pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Melanjutkan pelajaran di Glasgow Universiti, Scotland dan kemudian melengkapkan pengajian Sarjana dalam “Comparative Law” di UIAM. 1997, beliau merupakan pensyarah undang-undang di UKM, Bangi dan bersara menyertai politik pada tahun 1999. Karier politik beliau mula menyinar apabila dikejutkan dengan perlantikan sebagai Setiausaha Agong PAS oleh Allayarham Datuk Fadzil Noor. Pada tahun yang sama beliau bertanding di Yan, Kedah dan menang. Walaubagaimanapun, sudah resam orang politik, pada tahun 2004, beliau dinamakan sebagai calon di Besut yang akhirnya tewas. Pada tahun 2008, beliau kembali melakar kemenangan apabila menewaskan Datuk Awang Adek di Parlimen Bachok. Pada pemilihan PAS sebelum ini, beliau telah menawarkan diri bertanding sebagai Timbalan Presiden PAS setelah Tuan Guru Datuk Dr Haron Din tidak berhasrat memegang jawatan tersebut lagi. Sebagai salah seorang calon yang bakal bertanding, Ustaz Nasharudin mempunyai karakter kepimpinan Islam yang unggul. Kebolehannya bertutur dengan baik dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab merupakan pelengkap sebagai pemimpin PAS masa akan datang yang mampu diketengahkan di dalam persekitaran kemajmukan masyarakat dan kepelbagaian agama di dalam negara. Approach politik yang bersederhana amat menarik perwakilan PAS untuk terus menyokong beliau dan turut disegani oleh lawannya di dalam UMNO. Walaubagaimanapun, persoalan samada Ustaz Nasharuddin Mat Isa mampu mempertahankan jawatannya ini sedikit sebanyak tercalar kerana beliaulah yang menjadi penggerak agar ditubuhkan Kerajaan Perpaduan, biarpun idea ini sebenarnya datang daripada Presiden PAS itu sendiri. Namun, kebanyakan daripada ahli-ahli PAS melihat Ustaz Nasharudinlah yang menjuarai idea kerajaan Perpaduan ini yang sememangnya mendapat tentangan daripada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Justeru, pada pemilihan kali ini, beliau dilabel sebagai Agen UMNO, Pengkhianat PAS dan Tali Barut Kerajaan. Persoalannya, mampukah beliau mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS… Hanya Perwakilan PAS yang bakal memberikan jawapan.
Calon kedua: Hj Mohamad Sabu
Mohamad Sabu |
Haji Mohamad Sabu merupakan calon yang mendapat pencalonan tertinggi. Naib Presiden PAS ini juga merupakan bekas ahli Parlimen Kuala Kedah bagi tahun 1999-2004 dan pada pilihanraya 2008, beliau sekali lagi kecundang di Parlimen Kuala Terengganu. Merupakan aktivis PAS yang pernah ditahan ISA atas tuduhan terlibat dengan gerakan pelampau di bawah operasi lalang. Beliau banyak memainkan peranan di dalam PAS. Ceramah-ceramah beliau bagaikan penyambung kesinambungan perjuangan PAS daripada dahulu sehinggalah sekarang. Pada tahun 2007, beliau juga berjaya menganjurkan perhimpunan BERSIH bagi memastikan pilihanraya berlangsung secara adil tanpa ada sebarang bentuk penipuan. Mat Sabu panggilan mesranya cukup terkenal dengan keupayaannya berpidato bahkan dari segi pemikiran politiknya kritis dan melawan arus perdana perjuangan politik. Penglibatan awal Hj. Mohamad dalam gerakan Islam ialah dengan menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1975 selepas dipecat dari Institut Teknologi Mara (ITM) kerana penglibatannya dalam tunjuk perasaan menentang Akta Universiti. Pada tahun 1978, Hj. Mohamad menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pada tahun 1981, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1982, beliau menjadi calon PAS di Kepala Batas menentang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga di DUN Penanti namun tewas. Pada tahun 1983, Hj. Mohamad dilantik sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat hinggalah tahun 1985. Dalam pilihanraya 1986 pula, Hj. Mohamad bertanding menentang Anwar Ibrahim di Permatang Pauh. Pada tahun 1989, beliau dipilih sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS pusat hinggalah beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan itu pada tahun 1997. Beliau mula menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada tahun 1991. Semasa menjadi Naib Ketua Dewan PAS Pusat, beliau dihantar untuk bertanding di Nilam Puri dalam Pilihanraya Umum 1990 yang penuh bersejarah di mana PAS berjaya menerajui semula kerajaan negeri Kelantan. Namun, tidak banyak yang dapat dikongsikan dengan semua pembaca mengenai latar belakang pendidikan yang lengkap calon ini. Dalam pentandingan kali ini, Mat Sabu dilihat sebagai pencabar utama Ustaz Nasharudin memandangkan pencalonan yang tinggi beliau perolehi. Persoalannya, adakah kepimpinan beliau mampu meneruskan kesinambungan agenda pejuangan PAS? Adakah beliau merupakan liabliti kepada PAS dengan isu-isu peribadi yang diasak oleh juak-juak UMNO? Adakah beliau mampu mencerminkan cerminan pimpinan Islam dan Ulama’ yang diingini oleh semua? Persoalan yang tidak mampu diberikan jawapan.
Calon yang ketiga:
Tuan Ibrahim Tuan Man |
Tidak banyak yang dapat dikongsikan mengenai latar belakang calon yang seterusnya ini iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau adalah salah seorang daripada Naib Presiden Pas dan pada masa yang sama beliau juga merupakan Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang. Pada tahun 1999,beliau mula menyertai pilihanraya umum ke 10 dan bertanding di Dun Jengka dan memperoleh kemenangan setelah menewaskan calon Umno,Dato Zainal Hassan dengan majoriti 319 undi. Walaubagaimanapun,beliau gagal mempertahankan kerusi Dun tersebut pada tahun 2004. Pada tahun 2008 pula,beliau masih gagal menawan kembali kerusi Dun Jengka pada Piliharaya Umum ke 12, walaubagaimanapun telah berjaya merapatkan jurang majoriti kepada hanya 596 undi. Mengenai latar belakang pendidikan, beliau merupakan lulusan Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Lebih dikenali sebagai seorang calon yang sederhana, bukan golongan populist dan dari segi pendekatannya pertengahan namun mempunyai pengaruh yang tidak kurang hebatnya. Tuan Ibrahim juga dilihat mempunyai kelebihan berbanding dengan Mohammad Sabu. Ini adalah selaras dengan usaha PAS untuk mengekalkan tampuk penguasaan ulamak dalam hiraki kepimpinan PAS. Namun, adakah beliau layak untuk dinobatkan sebagai Timbalan Presiden PAS dan bersaing di dalam kancah politik Nasional sedangkan beliau hanya pernah menjadi ADUN Jengka buat satu penggal sahaja? Adakah pengaruh beliau mampu menjamin kejituan perjuangan PAS yang dilihat sebagai sebuah parti alternatif orang Melayu Islam di Malaysia? Tepuk dada Tanya selera…
Pada pendapat saya, adalah baik kiranya Ustaz Nasharudin dikekalkan sebagai Timbalan Presiden memandangkan beliau membawa suara pimpinan pelapis PAS yang jauh lebih terbuka, moderate dan mampu bekerjasama dengan mana-mana pihak di dalam memastikan agenda memperjuangkan Islam dan rakyat terbela. Pada masa yang sama, cerminan kepimpinan ulama’ dan professional turut diteruskan kiranya Ustaz Nasharudin terpilih. Golongan professional muda dan pertengahan akan jauh lebih tertarik untuk terus mendokong dan menyokong PAS berbanding calon-calon yang lain. Mengenai imej beliau yang tercalar sebagai pro-UMNO mahupun pengkhianat PAS, secara rasionalnya apa yang beliau cuba ketengahkan adalah sudah tiba masanya orang Melayu Islam bersatu dan bekerjasama agar masa depan Islam terjaga. Sedangkan Ansar dan Muhajrin disatukan atas dasar hijrah Rasulullah… Sedangkan Aus dan Khazraj mampu disatukan… Hamas dan Fatah mampu mencapai perdamaian, inikan pula PAS dan UMNO… Namun, tujuan murni Ustaz Nasharudin itu telah disalah ertikan dan beliau menjadi mangsa keadaan… Adakah kita juga turut sama menyemai rasa kebencian dan menolak penyatuan... Pemikiran Ustaz Nasharudin inilah pemikiran politik Islam yang ingin melihat semua bersatu agar Islam dapat diperkukuhkan dan generasi akan datang tidak akan terjebak lagi dengan konflik politik sempit antara Melayu dan Islam yang tidak sesekali menguntungkan… Pada masa yang sama, menilai dan melihat kepada prestasi Ustaz Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok sebagai pemimpin utama parti, beliau selepas dua penggal memegang jawatan Timbalan Presiden didakwa gagal untuk mengangkat parti berada di kedudukan terbaik selain tidak membawa lebih banyak perubahan di dalam parti.
Namun, sekiranya yang dipilih perwakilan PAS ialah Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau juga merupakan calon yang sesuai yang meneruskan tradisi kepimpinan ulama’ di dalam PAS. Kederhanaan beliau mampu disegani semua pihak dan pada masa yang sama beliau mampu menjadi pemimpin yang meneutralkan pergolakan politik di dalam PAS. Maklumlah dalam PAS dah ada puak Erdogan lah, Ulama'lah itulah inilah. Walaupun Tuan Ibrahim dilihat calon bukan pilihan dari segi pencalonan yang diberikan di peringkat bahagian, tetapi ternyata beliau adalah yang paling popular bagi menggantikan Ustaz Nasharudin. Persaingan jawatan timbalan presiden PAS kali ini agak unik kerana ia menyaksikan pertembungan dua pemimpin ulama dan seorang dari golongan profesional. Adakah undi golongan ulama akan berpecah ekoran keputusan Tuan Ibrahim memutuskan untuk turun gelanggang sekali gus membuka peluang cerah kepada Mohamad Sabu? Hanya perwakilan yang layak menjawabnya…
Jika dilihat dari sudut pencalonan diterima, Mohamad atau lebih dikenali sebagai “Mat Sabu” berpeluang untuk memenangi kerusi itu kali ini. Di atas kertas, ramai yang berpendapat beliau akan memenangi jawatan itu. Namun, ia masih belum menjamin kedudukan itu walaupun mendahului senarai pencalonan. Peluang untuk Mat Sabu menang itu masih cerah kerana beliau bukan sahaja pemimpin yang sudah lama dan diterima tapi salah satu kelebihan beliau adalah beliau seperti selebriti dalam PAS. Beliau jauh lebih popular jika hendak dibandingkan dengan Ustaz Nasha dan Tuan Ibrahim. Namun, tidakkah kita merasakan populariti bukanlah sesuatu yang kita cari… Yang kita cari adalah pemimpin yang bukan menjadi liabliti kepada PAS… Yang kita cari adalah pemimpin yang boleh membawa kesinambungan perjuangan Islam di dalam PAS itu sendiri… Yang kita cari adalah pemimpin yang mampu digeruni dan disegani lawan… Dengan menangnya Mat Sabu, apakah persepsi semua terhadap kepimpinan PAS adalah perkara yang perlukan penilaian…
Apa yang penting, aku bukan ahli PAS… Aku tak layak pun nak bercerita lebih-lebih mengenai pemimpin PAS dan aku tak memilih pun… Cuma, menulis agar dapat dianalisa pembaca mengenai apa yang aku rasa mengenai Muktamar PAS kali ini… Sekadar berpendapat… Cuma pemilihan PAS kali ini harap-harap tak dipengaruhi oleh insan ini… Cukup-cukuplah tu...
Siapa aku nak naikkan dalam PAS kali ni? |
Final Yang Cukup Dramatik: Barca vs Man U
Biarpun hanya menonton di rumah memandangkan anak aku tak berapa sihat muntah-muntah, aku tetap enjoy melihat game final Champions League antara Man U dan Barcelona... Not because of Man U kalah dan mendiamkan semua penyokong-penyokong fanatisnya yang berkelahiran (Pekan,Pahang), (Gombak,Selangor), (Balik Pulau, Penang), (Kokdiang, Kedah) dan (Tanah Merah,Kelantan), ber I/c kan kad pengenalan Malaysia dan beratuk dan nenekkan mereka yang dilahirkan di tanah Melayu... Tapi yang aku tak tahan, diorang ni sokong mengalahkan anak tauke burger dan piun di Manchester sana... Apapun, aku terhibur dengan game malam tue...
Jaringan Pedro, Messi dan Villa sudah cukup membuatkan Barcelona gemilang dan Man U menggigit jari... Namun, jaringan Rooney sedikit sebanyak mengubat hati... Ada yang tak boleh terima hakikat kekalahan Man U dengan confident berkata ni semua agenda Yahudi, ada yang kata ni semua setting... Ada yang kata memang Barca layak menang sebab Man U memang sayur... Hehehe... Biar apapun orang nak kata, aku tetap:
- Respek Man U sebab diorang boleh sampai ke final berbanding team aku... Arsenal yang turut terkandas di suku akhir setelah terjumpa Barca...
- Respek Man U sebab diorang berusaha bermain dengan bersungguh-sungguh hingga ke minit-minit terakhir biarpun telah ketinggalan 2 goal...
- Respek Man U sebab diorang kental berjuang biarpun dari segi matematiknya, kelebihan pemain dan perlawanan melebihi Barca...
Tahniah, at least Man U dapat tempat kedua dan juara EPL... Tahun depan cuba lagi...
Apa yang penting, Barca deserve to win... Messi, Xavi, Iniesta, Villa sudah cukup untuk merobek gawang Man U... Puyol, Pique, Abidal, Alves, Busquets dan Mascherano telah menghalang jentera Man U untuk merancang serangan dengan cemerlang... Mereka adalah juara...
Saksikanlah ulangan gol-gol sepanjang perlawanan...
Subhanallah... Alhamdulillah... Ilusi mata kurniaan Allah...
Maharaja Lawak Minggu Ke-9: Milik JAMBU
Last Friday, I spent my night by watching Maharaja Lawak. After all of the groups performed, I may conclude that JAMBU was the BEST... Please watch their performance and don't forget to vote them to become the 1st Maharaja Lawak...
Tuesday, 24 May 2011
NILAILAH SENDIRI...
Tetiba hari ni nak layan video klip Wali Band "Tomat"... Sekali, terlayan video klip ni pulak... Hmm, lepas tengok korang nilailah sendiri yek... Tapi hari ini, klip ni rating tertinggi aku ler...
Monday, 23 May 2011
Maharaja Lawak... Week 8... Sepah yang punyer...
Menganalisa lawak-lawak yang dibuat semasa minggu ke-8 Maharaja Lawak, terus terang aku berikan pujian kepada Sepah di atas konsistensi lawak-lawak yang mereka persembahkan... Dengan penuh bersahaja 3 makcik-makcik kampung sibuk merewang akhirnya diakhiri dengan tragedi memotong kaki salah seorang daripada mereka cukup menggelikan hati... Apapun, malam tu, memang Sepah yang jauh lebih outstanding daripada Nabil (Yang memang tahapeapentah), Jambu (walaupun aku peminat jambu tapi lawak Robot diorang malam tu memang tak jadi), R2 ( Yang memang bergantung pada uncle tu jer untuk berlawak) dan Jozan (dengan lawak sebastiknya)... Sepah bagi aku cukup kelakar...
Sunday, 22 May 2011
MENCARI SAKINAH...
Ceramah yang amat aku sukai sejak kebelakangan ini... Mengajar aku erti mengejar kehidupan hakiki di akhirat nanti... Syurga yang ku cari bukannya kebahagiaan duniawi... Lebihkan Syukur kerana maqamnya jauh lebih tinggi dari Sabar... Dan apa yang paling penting... Hasbunallah Wa Ni'mal Wakil...
Maha Suci Mu Ya Allah, Bagiku Engkau Sudah Mencukupi...
MASIH INGATKAH KITA TRAGEDI INI?
Tragedi runtuhnya Kondominium mewah Highland Tower yang berlaku pada 11 Disember 1993 merupakan satu sejarah hitam dalam negara yang telah mengorbankan seramai 48 nyawa. Seharusnya kejadian ini dijadikan iktibar agar pihak berkuasa meneliti dengan lebih terperinci setiap aktiviti pembangunan yang dilaksanakan agar ianya semalat didiami dan mengikut spesifikasi yang digariskan. Runtuhnya Highland Tower ini memberikan satu tamparan yang hebat buat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan agar lebih telus di dalam melaksanakan amanah yang digalas mereka. Sekiranya kajian terperinci dibuat, sudah pasti kehilangan nyawa ini dapat kita elakkan. Janganlah sudah terhantuk, baru tenggadah. Sudah roboh satu blok A, kondominium Highland Tower ini yang telah mengorbankan nyawa, barulah semua celik mata dan sibuk menuding jari menyalahkan satu sama lain. Malaysia merupakan sebuah negara yang diishtiharkan bebas daripada ancaman gempa bumi. Namun, belumpun gempa bumi berlaku, terlalu banyak cerita runtuhan telahpun kita dengari.
Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa 2008 |
Pada 6 Disember 2008, telah berlaku sekali lagi kejadian tanah runtuh yang melibatkan kediaman. Tanah runtuh Bukit Antarabangsa telah mengorbankan 4 nyawa dan mencederakan 14 yang lain memberikan tamparan sekali lagi tentang keberkesanan kita di dalam memastikan perumahan di lereng-lereng bukit selamat didiami. 14 rumah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama ranap begitu sahaja tepat jam 3.50 pagi. Lebih mengejutkan kita ialah secara faktanya kawasan tersebut terletak 1.5km daripada tapak kondominium Highlang Tower runtuh. Bertungkus-lumuslah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan JKR menyiapkan laporan lengkap tentang sebab kejadian dan tindakan meluluskan pembangunan tanpa kajian terperinci dan tanpa mengikuti prosedur yang ditetapkan amatlah dikesali semua pihak.
Tanah Runtuh Madrasah At-Taqwa |
Dua hari lepas, sekali lagi kita dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh yang amat memilukan hati. Meragut lebih 11 nyawa anak-anak yatim Madrasah At-Taqwa telah memberikan kita iktibar bahawa satu tindakan yang lebih drastik dan ampuh perlu diambil agar kejadian tanah runtuh ini tidak akan terulang lagi. Anak-anak yang tidak berdosa ini pergi bukan disebabkan kesalahan mereka tetapi mungkin disebabkan kelalaian dan kealpaan kita di dalam merancang pembangunan. Anak-anak ini menjadi mangsa hanya kerana kecuaian kita memastikan agar semua prosedur keselamatan dilaksanakan dengan mengikut aturan dan siapakah yang perlu dipersalahkan? Memang mudah apabila lidah berkata, biasalah… Benda dah nak jadi… Itu semua ketentuan Allah… Ini bencana alam, kita tidak ada kuasa menahan dan menghalangnya… Tetapi, adakah benar kita telah berusaha memastikan perkara ini tidak berlaku? Adakah kita benar-benar memastikan yang setiap bangunan yang dibina selamat daripada ancaman keruntuhan seperti yang telah berlaku? Adakah kita masih mahu menyalahkan alam sedangkan tangan kita sendiri yang merosakkan?
Soalan ini hanya boleh dijawab oleh mereka yang bertanggungjawab. Besar harapan saya agar kerajaan dan pihak berkuasa tempatan memastikan perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa yang akan datang… Pastikan setiap bangunan memiliki CF, prosedur pembinaan dipatuhi dan apa yang paling penting ialah selamat untuk didiami… Pembangunan di cerun dan lereng-lereng bukit harus dijauhi dan diberhentikan untuk seketika… Bangunan-bangunan di lereng-lereng bukit perlukan pemeriksaan berkala agar sistem amaran awal dapat diberikan kepada semua agar dapat dielakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku lagi…
Kejadian Tanah Runtuh - Hulu Langat - Al-Fatihah buat yang telah pergi
Al-Fatihah buat semua mangsa kejadian tanah runtuh di rumah anak yatim, Madrasah At-Taqwa Hulu Langat. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka... Ameen.
Friday, 20 May 2011
Maharaja Lawak... Week 8...
Peserta Maharaja Lawak... |
3pm, Masih kat pejabat lagik... Tapi otak dah tak sabar pikir nak balik. Rasa nak terus pergi ke Kajang ambil anak-anak aku lepas tu bergegas balik ke rumah aku di Cheras... Almaklumlah, rancangan hiburan yang paling aku gemari akan bersiaran di kaca TV tepat jam 10malam... Maharaja Lawak Minggu ke-Lapan bakal aku saksikan malam ini bersama anak-anak dan isteri-isteri aku nanti... Ops! Isteri aku nanti... Namun, apa yang menyebabkan aku tertarik dengan program Maharaja Lawak ini ialah peserta-peserta yang bertanding amat berbakat di dalam membuat lawak dan mampu membuatkan aku terlupa seketika akan masalah-masalah hidup yang aku ada... Dengan Jozannya yang memang pakar berceloteh, Nabil yang kreatif dan bijak mereka lawak yang bermutu, Sepah yang cukup bersahaja dalam bercerita, Balas dengan lawak "double meaning'nyer dan Man yang baru menunjukkan taringnya... Namun, apa yang paling penting ialah, aku nak menyaksikan peserta favourite aku beraksi pada malam ini... JAMBU... Sedari awal lagi aku amat meminati kumpulan ini... Penampilan mereka yang pada peringkat awalnya low profile, tidak terlalu ramai fan, bersahaja dalam jenaka sehinggalah minggu ke-Tujuh apabila Sifu Ahmad Idham mencadangkan "silent comedy", aku dapat merasakan mereka berlawak begitu matang, tenang dan mempunyai idea yang di luar jangkaan... Dan kalau aku diberi peluang menganalisa lawak jenaka mereka bermula dari Episod 1 yang mana sessi interview bersama Dato' sudah cukup membuatkan aku pecah perut tergelak melihat gelagat Dato' Yus yang terkejut beruk apabila Tauke bukak pekung skandalnya keluar dengan betina... Episod 2 menyaksikan usaha si Yus menangkap Tauke sebagai pesalah untuk dihadapkan kepada Ketua Kampung sambil terjumpa Zilla Bakarin satu jenaka yang cukup tak terduga... Namun, episod Muzikal komedi, pencapaian Jambu agak sederhana jika hendak dibandingkan dengan Jozan dan Sepah... Tetapi, itu tidak bermakna Jambu tidak mampu bersaing lagi, Episod 4, dengan kehadiran Nora Danish @ Yus yang sedang diayat oleh Tauke menyebabkan aku geli hati melihat gelagat mereka... Aku respek Yus yang sanggup bercukur semua bulu yang terdapat di mukanya hanya semata-mata nak jadi pompuan... Episod ke-5 menyaksikan Yus dan Tauke berusaha menjayakan lawak majlis makan malam... Tapi, kebangkitan Jambu dapat kita semua lihat apabila Episod 6, mereka berjaya mempamerkan lawak Sukan di darat yang mendapat pujian semua juri... Hasilnya, minggu ke-7, dengan tema "silent comedy', apa yang aku boleh simpulkan, JAMBU telah menapau semua peserta lain dalam kategori "silent comedy"...
Aku cukup tak bersabar nak menyaksikan apa pula yang bakal mereka lakukan pada malam ini... VOTE FOR JAMBU...
Monday, 9 May 2011
Selamat Hari Ibu... Mama...
Mama Tersayang |
Sepertimana anak-anak yang lain, Along juga tidak sepatutnya melepaskan peluang mengucapkan Selamat Hari Ibu buat Mama yang tersayang... Terlalu banyak jasa, pengorbanan, kasih dan sayang yang dicurahkan oleh Mama sehinggakan Along membesar sebesar 6 kali guni beras 20 kg Cap Rambutan... Dari sekecil tapak kaki Along 2 jari tangan Mama sehingga tapak kaki Along dua kali tapak kaki Mama... Dari pada bujang sehingga berdua (berkahwin)... Sehingga Along sendiri sudah beranak dua dan berbadan dua...
Terima kasih yang tidak terhingga buat Mama, atas segala doa dan sokongan yang Mama berikan kepada Along dan adik-adik... Mamalah anugerah Allah buat kami adik-beradik... Mamalah Ratu Hati kami yang tidak ada pengganti...
Ya Allah!!! Kau ampunilah kami!!! Kau kasihanilah kedua ibu bapa kami, sepertimana mereka menyayangi dan mengasihi kami sedari kecil lagi!!!
SELAMAT HARI IBU BUAT MAMA... Moga Allah melimpahkan rahmatnya ke atas Mama...
Salam sayang, anakmu...
Afif Farhi Othman ( Maruah Kegembiraanku)
Thursday, 5 May 2011
ANTARA SOLAT DAN GOLF… SIRI 1 (PUNCTUALITY)
Dalam banyak-banyak sukan, setakat ini sukan yang benar-benar menarik perhatian dan minat aku tak lain dan tak bukan adalah golf. Bermula dari tahun 2006 lagi, aku mula menemani ayahku bermain golf di GlennMarie. Dari situ, minat aku untuk bermain golf muncul tiba-tiba. Ditambah pula dengan kehadiran kawan-kawan baikku… Mamak@Bob (bukan nama sebenar, nama sebenarnya Azmer, otai Sg Chua) dan Nash@Nashrul Khalip (otai Sg. Merab) telah membuakkan rasa semangat untuk bermain golf. Bahkan pernah sampai aku bermain golf di PermaiPura, Sg Petani bersama mereka. Hari demi hari aku berlatih bermain golf sehinggalah hari ini aku sudah berhandicape 17. Biarpun masih dua angka, tetapi aku dapat rasa perubahan demi perubahan sedang berlaku di dalam setiap permainan. Itupun dalam keadaan main sebulan sekali, maklumlah sibuk kerja. Mengenali pula uncle Kamarol (jiran di Mutiara Bangi yang paling rapat dengan family aku) merupakan satu kelebihan. Dialah yang menyarankan aku untuk membeli SSG Links card bernilai RM470 setahun yang memboleh aku bermain penuh diskaun di Danau, UKM dan di Bukit Unggul Golf & Country Club, itupun main sekali setiap dua ke tiga minggu. Namun, bukan itu yang aku ingin kongsikan, yang aku ingin kongsikan ialah perbandingan antara Golf dan Solat yang mana sekiranya disiplin Golf dan Solat ini dapat dipraktikkan, sudah pasti kita akan lebih berdisiplin dan berjaya dalam setiap urusan. Ini berdasarkan pemerhatian aku bahawa Golf dan Solat ada persamaan, ada pengajarannya dan ada maksud tersirat di sebalik setiap tindakan dan aktiviti yang dilakukan. Idea ini terpacul apabila aku bermain golf bersama ayahku, uncle Kamarol dan Dr. Junaidi yang sekarang ini berkerja sebagai MSD di Indonesia. Dr Junaidi orang yang bertanggungjawan memulakan perbualan dengan mengeluarkan pendapat beliau bahawa golf dan solat ada persamaannya. Ia merupakan satu idea yang cukup menarik untuk aku catatkan agar dapat dikongsi bersama rakan-rakan. Ayuh mari kita bicara mengenainya…
Dalam solat, apabila azan berkumandang maka berbondong-bondonglah umat Islam menuju ke masjid-masjid dan surau-surau agar dapat segera menunaikan solat secara berjemaah. Islam menitik beratkan umatnya untuk menunaikan solat apabila tiba masanya. Namun, berapa ramai di antara kita yang berdisiplin di dalam melaksanakan amanah ini. Bagi mereka yang benar keimanannya, sudah pasti kita akan melihat mereka bersegera di dalam menunaikan solat. Ini disebabkan kecintaan mereka kepada Allah, kesukaan mereka menunaikan solat yang juga menjadi sumber ketenangan dan perasaan “halwatul iman” atau kelazatan iman yang boleh dirasai hadir di dalam solat yang khusyu’. Bahkan sebahagian daripada kita juga ada yang pergi ke masjid sebelum waktu azan berkumandang agar dapat beriktikaf dan mengerjakan amalan sunat. Inilah bentuk disiplin solat yang perlu dilaksanakan oleh kita sebagai Muslim.
Melihat gelagat dan sikap sahabat-sahabat se”Golf” aku, boleh aku nyatakan rata-rata mempunyai disiplin yang tinggi di dalam golf berbanding solat… Hehehe. Ini termasuklah diri aku sendiri. Sebagai contoh, beberapa bulan yang lepas, aku ada bermain golf dengan member-member aku, Aiman aka Frodo, Pon aka Putera Dari Brunei dan Aber aka Sivaji. Janji bermain di UPM jam 8.00pagi tee-off. Rata-rata 7.50pagi dah mula telefon aku tanya ada kat mana sebab mereka dah berada di UPM. Syabas! Punctuality mereka memang hebat. Cuma aku pun tak pasti adakah se”punctual” itu aku dan mereka dalam melaksanakan solat 5 waktu… Hehehe…
Teringat pula ketika bermain golf dengan Abah, uncle Kamarol dan uncle Nahar di GlennMarie juga begitu. Janji tee-off jam 8.30pagi, rupa-rupanya aku yang dah terpacak di sana jam 8.15pagi. Wah!!! Aku sendiri kagum dengan kehebatan aku memastikan ketepatan waktu di dalam bermain golf. Jika solat ada iktikaf di masjid dan solat sunat sebelum solat wajib, sebagai golfer, terkadang-kadang kita akan ke green berdekatan Club House sementara menunggu kehadiran kengkawan golfers yang lain sebelum main. Ada yang breakfast dulu, ada juga yang sempat ke green berdekatan untuk practice “putting” dan “chipping”… Maklumlah sebelum berentap di atas padang kenalah test swing dulu… Baru boleh makan member2 yang lain… Terus terang aku katakan yang aku suka bermain golf di waktu pagi. Andai kata ada member2 ajak main golf tee-off jam 7.30pagi di Monterez. Dah pasti aku kena gerak keluar dari rumah aku di Cheras jam 6.30pagi. Kalau lewat mesti jammed… Yang peliknya, jam 5.45pagi, aku dah bangun bersiap. Jadi, solat Subuh aku laksanakan lebih awallah berbanding hari-hari yang aku tak main golf yang kebiasaannya jam 6.30pagi. Boleh pulak bangun awal kalau tahu nak main golf… AstaghfirullahalAzim… Harap2, aku boleh berubah agar pastikan setiap masa bangun awal tunaikan solat. Mesej lain sebenarnya aku nak bagi tahu bini aku supaya selalu benarkan aku main golf pagi2 sebab aku bangun Subuh awal tu… Hehehe… Jadi kepada isteri2, kalau taknak tengok suami Subuh 6.30pagi. Suruhlah diorang main Golf pagi esok. Gerenti bangun awal dan Subuh pun mesti awal punyer…
Moralnya di sini yang aku nak kongsi dengan kengkawan semua, kalau main Golf korang boleh je punctual, segera dan cergas. Harap benda yang samalah yang kita boleh praktikkan dalam solat… Nasihat ni bukan untuk korang semata-mata… Untuk aku jugakler… Hehehe… Konklusinya, ramai di antara kita jauh berdisiplin dalam bermain Golf… Alangkah baik jika dapat berdisiplin di dalam solat juga…
Tuesday, 3 May 2011
Kematian Osama: Satu Kebenaran Atau Rekakarya...
Setelah sekian lama aku tidak update blog, hari ini aku tertarik untuk mencoretkan sedikit luahan hati aku mengenai kematian saudara muslim ku Osama bin Laden... Yang dikaitkan sebagai pengganas, pembunuh, musuh dunia dan sebagainya... Persoalan yang timbul di dalam fikiran aku ialah adakah benar2 Osama bin Laden telah mati memandangkan gambar yang disiarkan ternyata gambar yang telah diedit (Rujuk akhbar Berita Harian- 3 Mei 2011) dan yang lebih dimusykilkan kenapa perlu disemadikan di dalam lautan dengan alasan tidak mahu sebarang bentuk pemujaan terhadap kubur Osama oleh golongan ekstremis. Merenung kembali apa yang berlaku semasa Sept 11, jelas membuktikan wujudnya konspirasi di dalam serangan tersebut. Media Barat secara terang-terangan menuduh Osama dan Islam terlibat sekaligus mewujudkan Islamophobia pada seluruh negara Eropah. Namun, tidakkah mereka melihat betapa perkara ini telahpun diketahui oleh golongan-golongan Yahudi yang mana hampir kesemua pekerja Yahudi tidak berada di dalam bangunan WTC. Alangkah bodohnya pimpinan US yang sanggup membiarkan lebih 4000 korban berbanding meletupkan pesawat yang telah di-hijack kononnya oleh Al-Qaeda yang hanya membawa kurang 400 penumpang. Satu dunia telah diwar-warkan dengan kehebatan teknologi peperangan US, namun, adalah satu kepelikan apabila mereka gagal mengesan hampir 4 pesawat yang telah dihijack menukar haluan.
Di dalam isu ini, segala apa yang tersurat dan terpampang di dalam media tidak terus aku ambil bulat-bulat kerana secara hakikat, terlalu banyak perkara yang dibuat-buat. Adakah benar Osama satu ancaman buat Barat atau adakah dia boneka yang direka khas demi membolehkan mereka melemahkan satu persatu negara Islam. Afghanistan hancur hanya kerana usaha memerangi seorang individu (Osama) dan kelompok Al-Qaeda (pengganas Islam) oleh US. Afghanistan lebur hancur dibedil dan diratah oleh golongan yang kononnya anti-keganasan namun pada hakikat syaitan yang kejam meratah tubuh anak-anak Muslim yang tidak bersalah, ibu-ibu, kaum wanita dan golongan yang tidak berupaya rebah hanya kerana propaganda mereka memerangi keganasan...
Apakah benar Islam Agama Pengganas? Apakah benar segala yang berlaku merupakan peperangan ke atas pengganas atau konfrontasi terang-terangan terhadap Islam? Apakah benar Al-Qaeda mampu menggoncangkan US dengan serangan demi serangan atau hanya bagaikan samseng kampung yang diwar-warkan menjadi jaguh dikalangan pengganas? Apakah benar Osama dalang yang menyebabkan serangan Sept 11 atau dalang yang dipergunakan bagi menunjukkan Islamlah yang zalim dan tidak berperi kemanusiaan?
Mungkin kematian Osama bin Laden satu kemenangan buat mereka... atau hanya sandiwara menutup segala cerita yang telah direka... Ya Allah... HANYA ENGKAU YANG TAHU SEGALANYA...
Subscribe to:
Posts (Atom)