Tuesday 4 October 2011

PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI...


 Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat
dari melihat bangsaku dijajah
tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina


Air mata tiada ertinya
sejarah silam tiada maknanya
sekiranya bangsa tercinta terpinggir
dipersenda dan dilupakan


Bukan kecil langkah wira bangsa
para pejuang kemerdekaan
bagi menegakkan kemuliaan
dan darjat bangsa
selangkah beerti mara
mengharung sejuta dugaan


Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita


Bukan kecil tugas kita
meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
kerana rupanya selain memerdekakan,
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara


Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
bukankah sejak zaman berzaman
mereka menjadi pelaut, pengembara
malah penakluk terkemuka?
 
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,
menjadi pedagang dan peniaga


Selain menjadi ulama dan
ilmuan terbilang?
 
Bukankah bangsaku pernah mengharung
samudera menjajah dunia yang tak dikenal
 
Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau yang tidak mengenal
erti takut dan kematian?
 
Di manakah silapnya hingga bangsaku
berasa begitu kecil dan rendah diri?
 
Apakah angkara penjajah?
 
Lalu bangsaku mulai
melupakan kegemilangan silam
dan sejarah gemilang membina empayar


Tugas kita belum selesai rupanya
bagi memartabat dan
memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati


Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya


Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
kerana masa depan belum tentu
menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa


Perjuangan kita belum selesai
kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda
bangsanya yang berjaya


Dr. Mahathir Mohamad



Setiap kali aku dengar sajak ini aku sedih apabila mengenangkan keadaan politik semasa yang memperlihatkan perpecahan yang cukup teruk di kalangan orang-orang Melayu...

Setiap kali aku dengar sajak ini aku takut apabila melihatkan kerakusan manusia yang bernama Anwar Ibrahim berusaha mengambil kuasa sedangkan beliau telah nyata bukan pemimpin yang bersih namun orang Melayu dan Islam masih boleh menerimanya hanya kerana bencikan UMNO...

Setiap kali aku dengar sajak ini aku sedar bahawa suatu hari nanti kuasa yang ada pada orang Melayu akan terhakis akhirnya dek ketamakan bangsanya sendiri...

Setiap kali aku dengar sajak ini aku sedar bukan hanya perjuangan Tun yang belum selesai, malah perjuangan aku dan generasi mendatang di dalam memastikan bangsa tidak terjajah lagi juga masih panjang...

Setiap kali aku dengar sajak ini, aku rindukan Tun dan berharap beliau panjang umur, sihat selalu dan terus berjuang memberikan teguran dan idea agar Malaysia mampu melangkah lebih jauh... 

Terima kasih Tun...

No comments:

Post a Comment